Tuesday 11 December 2012

Filled Under:

Kelantan Tetap Hebat Tanpa Mat Yo



MESKIPUN Kelantan bakal kehilangan Norshahrul Idlan Talaha musim depan, Presiden kelab penyokong siber bola sepak Kelantan, Kelate.Net, Khairi Yazid tetap yakin bahawa skuad bimbingan Bojan Hodak mampu mempertahankan kejuaraan treble tahun 2013.

Jelasnya, kehilangan Norshahrul atau Mat Yo, tidak akan memberi kesan kepada Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim 2013.

"Bagi saya, kehilangan Mat Yo tidak memberi masalah kepada Kelantan kerana dalam setiap pasukan kemenangan bukan terletak pada pemain individu tetapi sebaliknya berpasukan.

"Jadi, saya yakin Kelantan tetap hebat biarpun tanpa Mat Yo, lagipun mereka masih mempunyai barisan pemain yang mantap," kata Khairi ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah dengan ketiadaan Mat Yo, ia akan menggugat Kelantan bagi mempertahankan kejuaraan treble musim depan.

Baru-baru ini, laporan mengenai isu perpindahan Mat Yo semakin hangat diperkatakan. Mat Yo dikatakan bakal berhijrah ke Johor setelah pasukan itu menawarkan gaji lumayan hingga RM80,000 sebulan bagi memancingnya menyarung jersi Harimau Selatan musim depan.

Bagaimanapun, keputusan tersebut terus menjadi tanda tanya kerana Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) belum membuat sebarang keputusan sama ada melepaskannya atau perlu kekal bersama The Red Warriors (TRW).

Dalam pada itu, Khairi turut yakin bahawa Kafa akan mengambil insentif bagi menggantikan kekosongan yang akan ditinggalkan Mat Yo nanti.

"Masih ramai pemain berbakat yang boleh menggantikan Mat Yo, dan saya yakin Kafa pasti akan melakukan yang terbaik demi badan induk bola sepak itu.

"Jadi, saya nasihatkan carilah bakat baru. Ramai lagi bakat baru boleh bermain bola," jelasnya yang yakin Kelantan tetap hebat.





0 comments:

Post a Comment